Ketua jurulatih skuad kebangsaan Korea Selatan, Jürgen Klinsmann membawa barisan pemain terkuat untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Vietnam dan Tunisia.

Korea baru sahaja mencatat kemenangan pertama di bawah bimbingan Klinsmann dimana mereka menewaskan Arab Saudi dengan keputusan 1-0 sekaligus menamatkan kemarau kemenangan sejak dibimbing oleh pengendali dari Jerman itu.

Untuk menghadapi Tunisia dan Vietnam pada 13 dan 17 Oktober ini, Klinsmann memutuskan untuk membawa barisan pemain terbaik dimana beliau mahu memastikan skuad kendaliannya dapat mengekalkan rentak kemenangan sekaligus pasukan berada dalam keadaan terbaik menjelang temasya Piala Asia 2023 pada Januari tahun hadapan.

Antara pemain bintang yang dibawa oleh Klinsmann ialah pemain pertahanan Bayern Munich, Kim Min-jae, pemain sayap Paris Saint-Germain, Lee Kang-in, penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan dan ketua pasukan Tottenham Hotspur, Son Heung-min.

Sebelum ini, Jürgen Klinsmann mendapat kritikan hebat dari peminat bola sepak Korea Selatan dimana mereka menganggap prestasi skuad kebangsaan itu merudum sejak dibimbing oleh beliau.

Klinsmann enggan berdiam diri dan beliau membalas semula kritikan yang dilontarkan dengan mengatakan jika tidak suka dengan cara beliau menguruskan pasukan, maka mereka boleh mencari jurulatih lain.

“Kalau saya selalu tinggal di Korea, perkara itu tidak efisien kerana tiada apa yang boleh dilakukan di Seoul. Lebih baik bertemu orang-orang tertentu di Eropah. Itu caranya untuk meningkatkan bola sepak Korea.

“Kalau anda tidak suka dengan cara yang saya gunakan, silakan cari pengurus lain. Saya tak kisah.

“Saya kuat bekerja, sama seperti orang Korea. Dimana saja saya bekerja, itu semua untuk bola sepak negara ini. Saya boleh katakan saya memberikan sepenuh fokus untuk Piala Asia. Di sini saya nak tegaskan, kalau nak berjaya, maka saya harus pastikan cara yang betul untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.

Kapten Korea, Son Heung-min tampil mempertahankan pengurus tersebut dimana beliau faham mengenai kekecewaan peminat yang mahu pasukan kebangsaan untuk meraih kemenangan.

“Saya faham dari mana penyokong datang, saya juga bersama skuad kebangsaan sekian lama. Saya tak kata jurulatih sentiasa betul tetapi saya juga tidak fikir penyokong juga selalu betul,” kata Son.